Carian@Eqmal

Saturday, November 6, 2010

BANTAHAN KE ATAS TAKWIL SIFAT AL-ISTIWA' KEPADA ISTAULA'

oleh Mohd Hairi Nonchi pada pada 05hb November 2010 pukul 9.21 ptg

Sumber: Aina Allah? (Di Mana Allah?) Mohd Hairi Nonchi (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2010). Insya-Allah, Edisi Baru buku ini akan terbit tidak lama lagi.



Orang yang mula-mula dikenal sebagai pelaku penyelewengan ini adalah sebahagian pengikut Jahm bin Shafwan[1] dan golongan al-Muktazilah. Adapun dalil mereka ialah sebagaimana yang dungkapkan oleh ahli syair katanya:



Sesungguhnya seorang lelaki telah menakluki Iraq tanpa pedang atau darah yang berselerak.



Adapun bantahan terhadap mereka itu, dapat kita kemukakan dengan pelbagai bentuk iaitu:[2]



Pertama:



Sesungguhnya al-Istiwa’ itu khusus untuk ‘Arasy. Manakala al-Istila pula adalah umum untuk semua makhluk.



Kedua:



Sesungguhnya Allah menjelaskan penciptaan langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian Dia beristiwa' di atas ‘Arasy dan Allah juga menjelaskan bahawa ‘Arasy itu berada di atas air sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Persemayaman yang dilakukan oleh Allah adalah sesudah Dia menciptakan kedua-duanya.



Selain daripada itu, perlu juga dijelaskan bahawa penguasaan Allah ke atas ‘Arasy telah berlaku sebelum Dia menciptakan langit dan juga sesudahnya. Berdasarkan ini, dapatlah kita ketahui bahawa bersemayam di ‘Arasy itu hanyalah khusus untuk Allah, bukan penguasaan umum atasnya atau atasnya benda-benda lain.



Ketiga:



Sesungguhnya makna kalimat ini sudah masyhur sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulamak Salaf. Sekiranya makna kalimah al-Istiwa’ yang termakub dalam ayat itu tidak diketahui, tiadalah Imam Malik beralasan untuk mengatakan bagaimana dia boleh jadi majhul (tidak diketahui)? Kerana tidak mengetahui dengan ungkapan bagaimana, tidaklah bererti menolak apa yang sudah diketahui asalnya.



Keempat:



Menafsirkan al-Istiwa’ dengan al-Istila' (berkuasa) sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas bumi dan seumpamanya.



Kelima:



Mengadakan pendapat yang baru tentang Kitab Allah yang berbeza dengan pendapat para ulamak Salaf dan para Imam Mujtahid yang mengharuskan salah satu daripada dua pendapat. Adakalanya pendapat itu sendiri yang salah atau pada sisi lain pendapat ulamak Salaf pula salah. Namun begitu, orang-orang yang berfikiran waras tidak akan meragukan bahawa yang pertama itu lebih mungkin silap dan salah, berbanding pendapat para ulamak Salaf.



Keenam:



Lafaz ini memang dijumpai dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dengan pengertian bersemayam, bukan dengan pengertian penguasaan. Sebab sekiranya ia diertikan dengan penguasaan, nescaya lafaz ini banyak digunakan dalam al-Qur’an atau al-Sunnah tersebut. Sebaliknya apabila lafaz al-Istiwa’ dengan pengertian berkuasa itu hanya ditemukan dalam satu atau dua tempat saja, maka kata itu dimasukkan ke dalam pengertian tersebut, kerana inilah yang biasa berlaku.

Selanjutnya apabila ditemukan satu kata yang banyak digunakan dalam semua sumbernya atas maksud yang sama, maka semuanya diminta untuk dialihkan kepada pengertian yang tidak pernah digunakan kata itu padanya. Maka jelaslah tindakan ini tidak tepat atau merosak kaedah bahasa, dan orang yang menghendaki keterangan yang jelas tidak akan bermaksud demikian dan tidak pula akan melakukannya. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah kepada 42 bentuk dalam bukunya, Mukhtashar al-Shawa’iq, jilid 2 dan hal yang telah kita sentuh di atas adalah sebahagian daripadanya.



Tentunya ada yang bertanya: apakah jawapan yang paling tepat yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang bertanyakan perihal (kaifiyat) sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala, khususnya tentang sifat persemayaman-Nya di atas ‘Arasy di atas langit?



Dr. Abdul Aziz Muhammad as-Salman memiliki jawapan yang amat baik mengenai persoalan ini sebagaimana yang diungkapkan oleh beliau di dalam sebuah buku susunanya yang berjudul al-Asilatu wa al-Ajwibatul Ushuliyyah ‘Ala al-‘Aqidah al-Wasithiyyah. Beliau menulis: [3]



Jawapan yang diberikan oleh al-Imam Malik rahimahullah adalah merupakan jawapan yang paling lengkap dan menyenangkan terhadap orang-orang yang bertanyakan tentang kaifiyyat Istiwa' Allah.



Apabila timbul pertanyaan dengan kaifiyat sifat-sifat Allah selain dari persemayaman, maka jawapan yang beliau berikan ini dapat dijadikan contoh. Umpamanya, apabila bertanya seseorang tentang cara Allah Mendengar, maka jawapannya adalah: Mendengar itu diketahui, tetapi (bagaimana) cara-Nya mendengar itu adalah majhul (tidak diketahui), namun beriman kepada hal itu adalah wajib dan bertanya-tanya dalam masalah itu adalah suatu perbuatan bid’ah (penyimpangan).



Demikian jugalah jawapan-jawapan tentang sifat-sifat Allah yang lain, apabila ditanya orang tentang kaifiyatnya seperti sifat basyar (melihat), sifat redha (meredai), sifat ajab (hairan), sifat yad (tangan), sifat nafs (diri), sifat kurh (benci), hayat (hidup), sifat qudrat (kuasa), sifat Quwwat (kuat) dan segala (sifat-sifat Allah) yang lain.



Nota Kaki:



[1] Beliau ialah tokoh besar bagi aliran al-Jahmiyyah. Kepada beliau nama aliran tersebut disandarkan (iaitu Jahm kepada al-Jahmiyyah). Antara pemikiran sesat mereka yang terkenal adalah mendakwa al-Qur'an sebagai makhluk Allah, Allah berada di merata tempat (di mana-mana), menafikan (ta'thil atau meniadakan) sebahagian sifat-sifat Allah khususnya sifat al-Istiwa' (bersemayam) Allah di atas 'Arasy di atas langit, Tangan (al-Yad) Allah dan lain-lainnya.



Dilihat dari segi sejarah asal-usul kelahiran aliran ini, al-Jahmiyah dipercayai berasal daripada Ja'd ibn Dirham, daripada Aban ibn Sam'an, daripada Thaluth iaitu anak kepada saudara perempuan Lubaid ibn al-A'sham, seorang Yahudi yang pernah menyihir Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jahm bin Shafwan telah meninggal dunia pada tahun 127H akibat daripada dibunuh oleh Salm bin Ahwaz. [Lihat Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah, ms. 33, nk.11]



[2] Lihat penjelasan ini dalam Al-Asilatu wa Ajwibatul Usuliyyah 'Alal Aqidatil Wasathiyah karya Dr. Abd Aziz Muhammad As-Salman; terjemahan oleh Akmal Hj Mhd. Zain di atas judul Soal Jawab Aqidah Islam Menurut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (Darul Nu'man, Kuala Lumpur, 1996), ms. 175-177.



[3] Lihat Al-Asilatu wa Ajwibatul Usuliyyah 'Alal Aqidatil Wasathiyah, ms. 180-181.

http://www.facebook.com/photo.php?fbid=145914228787873&set=t.1268950189#!/notes/mohd-hairi-nonchi/bantahan-ke-atas-takwil-sifat-al-istiwa-kepada-istaula/171136986245900

No comments:

Post a Comment