Carian@Eqmal

Friday, October 28, 2011

Contoh Hadis Palsu

1.


أَنَا مَدِيْنَةُ اْلعِلْمِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

“Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizy dari hadis ‘Ali dan katanya , “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhary. Di samping itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak dari hadis Ibn ‘Abbas. Ia berkatai, “Hadis Sahih.” Walaupun begitu Imam az-Zahaby berkata, “Sebaliknya, ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadits-hadits Maudhu’).

2.

Sehelai rambut wanita yang di lihat oleh LELAKI BUKAN MAHRAM dengan sengaja = balasannya 70,000 tahun dalam neraka, sehari akhirat = 1000 tahun di dunia.

Berkata Akh Fathi Al-Sakandary: Palsu, Laknat Allah Kpd Perekanya - Jika Tidak Bertaubat
Berkata Akh Adöuliné Lacharouphe:NOTA BERGUNA

1- Tiada hadis sahih yang mengandungi kata-kata "tujuh puluh ribu tahun".

WaLlahu a`lam.

3.

SEJARAH TERCIPTANYA ROKOK!!!

Rasulullah SAW pernah bersabda (maksudnya) : “Kelak akan datang kaum-kaum di akhir zaman, mereka suka menyedut asap tembakau dan mereka berkata: Kami adalah umat Muhammad padahal mereka bukan umat ku dan aku juga tidak menganggap mereka sebagai umat ku, bahkan mereka adalah orang yang celaka”

Abu Hurairah R.A yang mendengar sabda tersebut bertanya: “Bagaimana sejarah tembakau itu tumbuh wahai Rasulullah?”

Sabda Rasulullah SAW : “ Sesungguhnya setelah Allah menciptakan Adam dan memerintahkan para malaikat untuk sujud (tanda penghormatan) kepada Adam, seluruh malaikat kemudian sujud kepadanya kecuali iblis. Dia enggan, sombong dan termasuk orang-orang yang kafir. Allah bertanya kepada iblis : Wahai iblis apa yang menyebabkan kamu tidak mahu sujud ketika Aku memerintahkan mu? Kata iblis : Aku lebih baik darinya, aku tercipta dari api sedangkan ia dari tanah. Allah berfirman: Keluarlah engkau dari syurga, sesungguhnya engkau terkutuk dan engkau dilaknat hingga akhir. Iblis keluar dalam ketakutan hingga terkencing-kencing. Dari titisan kencing iblis itulah tumbuh sejenis tumbuhan yang dinamakan pokok tembakau.”

Nabi bersabda lagi : “Allah memasukkan mereka ke dalam neraka dan sesungguhnya tembakau adalah tanaman yang keji”

(Dipetik keseluruhan maksud hadis ini dari buku ‘HARAM MEROKOK’ oleh Adil Akhyar muka surat 12)

Berkata Akhi Fathi Al-Sakandary: Palsu, Tiada Asal, Laknat Allah SWT Kepada Pencipta Hadith Ini.

4.

Rasulullah s.a.w melarang menyikat rambut di dalam kamar mandi kerana perbuatan itu melemahkan akar rambut. Seseorang itu hendaklah duduk ketika bersikat kerana ia akan mengguatkan otot jantung dan elak daripada melakukannya secara berdiri sebab ia akan melemahkan jantung. Seseorang yang bersikat ketika berdiri akan terjebak dalam masalah hutang. Adalah makruh menggunakan sikat yang diperbuat daripada perak atau bersadurkan perak.

Akh Fathi Al-Sakandary: Palsu, Batil, Tiada Asal, Laknat Allah SWT Kepada Pencipta Hadith Ini

Monday, March 28, 2011

Sabar

Berkenaan sifat ini Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:



“Allah sentiasa Mencintai orang-orang yang sabar” (surah Ali Imran, ayat 146),



“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” (surah al-Baqarah, ayat 153), dan



“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (surah az-Zumar, ayat 10).



Seterusnya Allah juga berfirman: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya.” (surah al-Baqarah, ayat 155-157).



Pengurniaan tiga perkara, iaitu selawat, rahmat dan petunjuk secara serentak menyebabkan orang-orang shalih dari generasi awal umat Islam ternanti-nanti dan merasa terhibur apabila mereka menerima sesuatu yang memerlukan kesabaran.



Mereka berkata: “Kenapa aku tidak bersabar padahal Allah telah berjanji akan memberikan tiga perkara kepadaku dan salah satu dari tiga perkara itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya?”



Akhir sekali orang yang bersabar akan dimasukkan ke syurga dan di dalamnya: “Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (surah al-Ra’d, ayat 23-24)



Maksud Sabar dan Jenis-Jenisnya.



Sebegitu besar keutamaan bagi orang yang memiliki sifat sabar, sudah tentu kita tertanya-tanya apakah maksud sabar. Mudahnya, sabar dari sudut bahasa bermaksud menahan. Ada pun dari sudut istilah, ia bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu. Sabar memiliki beberapa jenis.



Jenis pertama adalah dari sudut perintah larangan agama. Kita dituntut untuk sabar dalam melaksanakan perintah agama seperti menuntut ilmu, berbuat baik kepada ibubapa, mendirikan solat, mengerjakan puasa dan sebagainya. Orang yang sabar tidak akan mengeluh apabila dituntut melaksanakan perintah agama. Sabar juga dituntut dalam rangka menjauhi larangan agama seperti mengharapkan pertolongan dari tangkal, mendekati ilmu sihir, mengambil harta yang bukan haknya, berzina, mencuri, berdusta dan seterusnya. Seorang penyabar akan menjauhi semua itu tanpa dalih yang pelbagai.



Jenis kedua adalah dari sudut suka dan duka. Kita hendaklah sabar dalam menerima sesuatu yang disukainya, baik ia merupakan kecemerlangan dalam pelajaran, kejayaan dalam kerjaya, kelebihan rezeki atau kebahagiaan hidup. Kesabaran akan mengarah kepada sifat bersyukur dan ingin berkongsi dengan orang lain apa yang Allah kurniakan, sebagaimana firman Allah: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu.” (surah al-Qasas, ayat 77)



Agaknya yang paling sukar ialah sabar dalam menerima sesuatu yang mendukacitakan, baik ia merupakan kematian orang yang disayangi, penyakit, kehilangan harta benda atau kesukaran dalam kehidupan. Kesabaran amat penting agar sifat tabah, mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan, rungutan, teriakan dan apa-apa lain yang sinonim dengan akhlak yang buruk.



Tidak termasuk dalam maksud dan jenis sabar ialah orang yang mendiamkan diri apabila dia melihat agama, manusia dan dirinya dizalimi. Sifat diam seperti ini lebih tepat disebut sebagai dayus dan bukannya kesabaran. Kesabaran adalah tetap bertindak menentang kezaliman, hanya tindakan itu dilakukan dengan akhlak yang mulia.



Meraih Sifat Sabar.



Di antara surah al-Qur’an yang terawal diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ialah surah al-Muddathir dan ayat yang ketujuh surah itu berbunyi: “Dan bagi Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar.” Ini menunjukkan bahawa sifat sabar adalah antara yang terawal dan terpenting yang dituntut oleh Islam ke atas kita. Akan tetapi sabar bukanlah satu sifat yang dapat bermastautin secara tetap dalam diri seseorang. Ia adalah sifat yang boleh wujud dan hilang, boleh tinggi dan rendah, boleh berlaku kepada sebahagian jenis kesabaran dan tidak berlaku kepada sebahagian jenis yang lain.



Maka bagi meraih sifat sabar, seseorang hendaklah sentiasa prihatin akan keadaan dirinya dan sering menasihati dirinya untuk bersabar. Dihargai juga apabila ahli keluarga dan rakan-rakan saling menasihati untuk bersabar dengan mengingatkan kembali ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan keutamaan-keutamaan sabar. Tidak ketinggalan ialah memohon pertolongan Allah agar mengurniakan sifat sabar kepada diri kita kerana Allah jua telah berfirman: “Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan (pertolongan) Allah.” (surah al-Nahl 16:127).





Kapten Hafiz Firdaus Abdullah